Malaysia tidak akan berjaya sebagai sebuah negara maju sekiranya gagal mengimbangi pembangunan fizikal dengan pemeliharaan alam semula jadi dan mengekalkan persekitaran sedia ada
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata tanggungjawab memelihara alam dan persekitaran semulajadi adalah tanggungjawab bersama dan ia perlu dilaksanakan secara berterusan dalam apa keadaan sekalipun.
"Kita telah melihat kesan akibat daripada pembangunan yang tidak teratur dan hanya menekankan faktor keuntungan semata-mata.
"Perlu kita sedari, usaha kita untuk menjadi sebuah negara maju tidak akan tercapai atau diiktiraf jika apa yang boleh kita perlihatkan adalah bangunan-bangunan pencakar langit tetapi sungai-sungai kita tercemar, hutan belantara kita hanya tinggal tanah yang tandus dan udara yang kita hirup teruk tercemar," katanya.
Dr Mahathir berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Bumi di Taman Tugu, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Hadir sama dalam majlis itu Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali, Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Yeo Bee Yin, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad dan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A. Xavier Jayakumar.
Acara yang bermula jam 8.30 pagi itu diserikan dengan persembahan penyanyi Zainal Abidin yang menyanyikan lagu Hijau dan Suriram.
Selain itu, Dr Siti Hasmah turut mencuri tumpuan orang ramai apabila menyanyikan lagu bersama Zainal.