Bas pekerja jatuh longkang, 11 maut

KiniTV 2019-04-08

Views 5.5K

Sebelas orang dengan hampir kesemuanya warga asing maut selepas bas pekerja yang mereka naiki jatuh ke dalam longkang besar berhampiran kawasan MASKargo, Sepang, malam tadi.

Ketua Polis Daerah KLIA ACP Zulkifli Adamshah berkata mereka yang maut dalam kejadian kira-kira 11.10 malam itu terdiri 10 penumpang bas warga asing dan seorang pemandu bas warga tempatan.

Sembilan daripada mereka meninggal dunia di tempat kejadian dan dua lagi mangsa meninggal dunia di hospital, masing-masing satu di Hospital Serdang dan Hospital Putrajaya, katanya ketika dihubungi hari ini.

"Ia pertama kali kawasan tersebut terlibat dengan kemalangan maut. Ia bukan kawasan bahaya. Cuaca juga baik malam tadi,” kata Zulkifli ketika ditemui di Hospital Serdang.

Menurut bomba, bas berkenaan yang membawa 43 penumpang jatuh kira-kira empat meter ke dalam longkang yang mempunyai kedalaman keseluruhan 20 meter.

Ketika bomba tiba di lokasi kejadian, kesemua 44 mangsa termasuk pemandu bas terperangkap di dalam bas berkenaan.

Zulkifli berkata warga asing yang maut terdiri daripada tiga warga Indonesia, dua Bangladesh dan lima Nepal.

Beliau berkata pihak kedutaan terlibat telah dihubungi untuk urusan pengendalian jenazah warga masing-masing.

Penumpang lain yang cedera dalam kemalangan itu pula dibawa ke Hospital Serdang, Hospital Putrajaya, Hospital Banting dan Hospital Kajang untuk rawatan, katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati bas terbabit membawa 43 penumpang warga asing yang juga pekerja kontrak MASKargo itu untuk ke tempat kerja dari asrama mereka di Nilai, Negeri Sembilan.

Mereka sepatutnya memulakan shif kerja di MASKargo pada 12 tengah malam, katanya.

Namun, katanya, polis sedang menyiasat mengapa bas berkenaan tidak menghala ke arah bangunan MASKargo sebalik menuju ke arah bangunan kejuruteraan atau hangar lapangan terbang.

"Ini juga kami akan siasat,” katanya, sambil menambah polis akan mengambil keterangan daripada mangsa yang cedera hari ini juga.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, pemandu bas berkenaan didapati tidak memiliki rekod kesalahan trafik.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata seramai 37 pegawai dan anggota bersama lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KLIA, BBP Cyberjaya dan BBP Sepang terlibat membantu di lokasi kejadian.

-- BERNAMA

Share This Video


Download

  
Report form