Persidangan Dewan Rakyat hari ini menyaksikan ahli parlimen pembangkang membidas cadangan Menteri Industri Utama Teresa Kok berhubung penanaman buluh sebagai alternatif kepada minyak sawit.
Ahli parlimen pembangkang mengajukan soalan berhubung cadangan itu kepada Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Md Akin, dengan mempersoalkan sama ada kerajaan benar-benar serius tentang cadangan berkenaan.
Shahidan Kassim (BN-Arau), dengan nada sarkastik mencadangkan penubuhan sebuah lembaga memantau penanaman buluh dan mencadangkan nama Lembaga Buluh Negara digunakan.
Shahidan juga mencadangkan agar akronim 'Lembu' digunakan bagi merujuk lembaga itu.
Menjawab cadangan itu, Shamsul membalas: "Saya setuju, kalau nanti kementerian boleh cadangkan YB (Shahidan) sebagai pengerusi Lembu yang pertama".
Mengulas dengan nada serius, Shamsul berkata kerajaan melihat buluh sebagai komoditi yang mempunyai potensi.