Polis menahan pemilik akaun Facebook ‘Danny A’antonio Jr’ semalam kerana memuat naik komen jelik terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad.Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, suspek berusia 28 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan (atas alasan agama menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau pemusuhan, benci-membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan).“Siasatan juga dilakukan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, dan lain-lain.“Permohonan reman ke atas suspek akan dibuat hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.Mohamad Fuzi turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan media sosial atau apa-apa rangkaian komunikasi dengan memuat naik atau berkongsi sebarang bentuk provokasi yang boleh menyentuh sensitiviti agama dan perkauman, sehingga membangkitkan ketegangan kaum dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.