Pengerusi Jawatankuasa Reformasi Pilihan Raya (ERC) Abdul Rashid Abdul Rahman berkata meskipun beliau merupakan naib presiden Bersatu, dia tetap berikrar untuk menjalankan tugasnya dengan bebas.
"Saya bekerja dengan bebas.
"Meskipun saya ahli Bersatu, saya seorang yang berfikiran bebas dalam jawatankuasa ini.
"Saya mahu pastikan semua pihak yang bertanding mesti mendapat hak yang sama dan saksama (dalam pilihan raya)," katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.
Turut hadir pada sidang media itu Pengerusi Eksekutif ERC Amerul Muner Mohammad yang berkata jawatankuasa itu sudah menyusun pertemuan dengan Pakatan Harapan (PH) dan BN bagi mendapatkan maklum balas.
ERC ditubuhkan pada Ogos tahun lalu dan diberi masa dua tahun untuk mengemukakan cadangan kepada kabinet bagi memperbaiki sistem pilihan raya sedia ada.