‘Bersatu tak campur hal DAP, apa yang Ronnie mahu bising’

KiniTV 2019-02-14

Views 12.1K

Setiausaha DAP Selangor, Ronnie Liu tidak memahami situasi sebenar di sebalik penyertaan bekas anggota Parlimen Umno ke dalam Bersatu.

Dalam satu kenyataan, Anggota Majlis Tertinggi Bersatu, Abu Bakar Yahya menegaskan kesemua wakil rakyat berkenaan bukan lagi daripada Umno sebaliknya merupakan Anggota Parlimen Bebas yang menyatakan hasrat untuk ingin bersama-sama dalam perjuangan Bersatu.

Katanya, Bersatu tidak pernah campur hal ehwal dalaman DAP sebaliknya menghormati prinsip kerjasama semua parti komponen dalam Pakatan Harapan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Liu yang juga ADUN Sungai Pelek, semalam, yang menyifatkan bekas wakil rakyat Umno yang diterima masuk ke dalam Bersatu sebagai ‘sampah’.

Liu turut menyatakan tindakan Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad menerima mereka sangat mengecewakan kerana beliau sebelum ini dikatakan pernah berjanji untuk tidak menerima golongan seperti itu.

Dalam pada itu, Abu Bakar yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri menasihati Liu supaya melihat kemasukan anggota Parlimen terbabit dari sudut gambaran luas dan bukannya secara sempit seolah-olah seperti 'katak di bawah tempurung'.

Ini kerana, beliau berkata, kemasukan anggota Parlimen tersebut ke dalam Bersatu secara tidak langsung memperkuatkan lagi kerusi PH dalam Parlimen.

Dr Mahathir pada Selasa mengumumkan penyertaan enam bekas Anggota Parlimen Umno ke dalam Bersatu, iaitu Hamzah Zainudin, Rosol Wahid, Dr Abdul Latiff Ahmad, Shabudin Yahaya, Mohamad Fasiah Mohd Fakeh, Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Pada majlis sama, Perdana Menteri turut menyampaikan kad keahlian Bersatu kepada keenam-enam anggota parlimen tersebut serta Anggota Parlimen Masjid Tanah Mas Ermiyatie Samsudin yang telah menyertai Bersatu pada Disember tahun lepas.

Penyertaan kesemua wakil rakyat tersebut menjadikan jumlah Anggota Parlimen Bersatu ketika ini seramai 22 orang.

Share This Video


Download

  
Report form