Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan mengadakan perbincangan khas susulan pelantikan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali sebagai pengerusi Majlis Tindakan Negeri (MTNg), negeri itu.
Memetik Malaysiakini yang memetik sumber, satu mesyuarat tergempar diadakan oleh biro politik Amanah Kelantan berlangsung malam tadi di Kota Bharu bagaimanapun tidak mencapai kata putus yang muktamad.
Tambah sumber itu lagi, terdapat ahli jawatankuasa yang setuju mengenai pelantikan Azmin itu dan ada juga yang tidak setuju.
Difahamkan turut hadir pada mesyuarat itu Naib Presiden Amanah, Husam Musa dan Pengerusi Amanah Kelantan, Wan Abd Rahim Wan Abdullah.
Terdahulu, semalam Malaysiakini melaporkan Azmin dilantik ke jawatan itu berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Justeru, satu sidang media dirancang oleh Amanah Kelantan yang sepatutnya berlangsung hari ini, namun dibatal.
Sidang media mengenai pelantikan Azmin itu difahamkan dibatalkan selepas mesyuarat tersebut gagal mencapai keputusan sebulat suara.
Sumber memberitahu, mesyuarat itu antara lain mempersoalkan alasan pemimpin Amanah tidak dilantik bagi jawatan berkenaan manakala terdapat juga cadangan supaya mengesyorkan agar timbalan perdana menteri yang dilantik ke jawatan itu.