Sultan dan Raja-Raja Melayu mula berangkat tiba di Istana Negara hari ini bagi menghadiri Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja untuk memilih Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Berdasar pemerhatian Bernama, kenderaan Diraja dari beberapa negeri termasuk Selangor, Pahang, Johor, Perak, Kedah, Perlis dan Negeri Sembilan kelihatan memasuki perkarangan Istana Negara seawal 10 pagi.
Mesyuarat yang dijadual berlangsung pada 10.30 pagi itu turut menarik perhatian warga media termasuk media antarabangsa apabila Sultan Muhammad V mengumumkan peletakan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 6 Jan.
Ini merupakan kali pertama dalam sejarah Yang di-Pertuan Agong meletakkan jawatan sebelum berakhirnya tempoh pemerintahan selama lima tahun.
Berdasarkan laman web rasmi Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, sekiranya kekosongan berlaku kepada jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, urusan pemilihan hendaklah dibuat tidak lewat daripada empat minggu daripada tarikh berlaku kekosongan jawatan itu.