Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata permohonan maaf dari firma Kumpulan Goldman Sachs yang didakwa terpalit dalam skandal 1MDB tidak mencukupi kerana kerajaan akan menuntut pembayaran wang pampasan.
Sebelum ini Ketua Pegawai Eksekutif Goldman Sachs Inc, David Solomon pada hari Rabu memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana peranan bekas pegawai bank itu Tim Leissner dalam skandal 1MDB tetapi berkata bank itu telah melakukan urusan sewajarnya (due diligence) sebelum setiap transaksi.
Goldman sedang disiasat oleh pihak berkuasa Malaysia dan Jabatan Kehakiman AS (DOJ) atas peranannya sebagai penaja jamin dan pengatur tiga jualan bon yang mengumpulkan AS$6.5 bilion untuk 1MDB.
Guan Eng dalam satu Ceramah Perdana Dataran Felda Koyan 1 malam semalam turut menempelak bekas perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang tidak mengambil tindakan ke atas Goldman semasa berkuasa.
Terdahulu Najib yang ditemui pemberita di Cameron Highlands berkata Goldman Sachs sepatutnya mengambil tanggungjawab jika ia gagal menjaga kepentingan 1MDB.