Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan warga pendidik agar terus memainkan peranan dalam merealisasikan hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi yang menguasai bahasa Inggeris.
Dr Mahathir berkata peranan guru amat besar dan penting dalam membentuk dan menentukan ‘jenis’ manusia yang menjadi warganegara Malaysia pada masa hadapan, dan lantaran itu kerajaan memberi tumpuan serius dalam bidang pendidikan
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis bersama warga pendidik negeri Terengganu hari ini.
Turut hadir isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad serta 1,000 warga pendidik.
Majlis itu merupakan program pertama Dr Mahathir yang melakukan lawatan kerja sehari ke Terengganu hari ini. Lawatan Perdana Menteri ini adalah yang pertama selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, Mei lepas.
Dr Mahathir berkata kerajaan akan memperkenalkan sistem pendidikan yang lebih terarah kepada program membentuk rakyat lebih berwibawa dan mampu memajukan Malaysia dengan lebih pesat daripada dahulu dan sekarang. - Bernama