Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad berkata tiada pihak dalam parti itu yang akan diberi kontrak kerajaan tanpa melalui proses dan kelayakan yang sepatutnya.
Perdana menteri berkata gesaan berhubung kontrak disuarakan kerana ada mereka yang layak tetapi dipinggirkan oleh kerajaan BN dulu.
"Kita menentang korupsi tetapi ada anggota kita yang sangat layak tetapi didiskriminasi oleh kerajaan dulu.
"Sekarang mereka fikir ada peluang walaupun melalui tender untuk apa saja kontrak. Jika mereka dapat kontrak, jangan sangka ia (hanya) kerana mereka daripada parti (Bersatu)," katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu ke-2 di Putrajaya.
Katanya, anggota Bersatu yang ingin mendapatkan kontrak kerajaan tetap perlu melalui proses tender.
"Jika mereka melakukan kesalahan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan datang kepada mereka tanpa mengira pangkat mereka," katanya lagi.
Berhubung pandangan yang disuarakan perwakilan berhubung perkara itu tidak selari dengan idealisme Pakatan Harapan (PH), Mahathir berkata mereka boleh menyuarakan pandangan tetapi setiap pendirian akan ditentukan pimpinan Bersatu.
"Pendirian parti ditentukan pimpinan.
"Tentulah perwakilan dan ahli biasa boleh suarakan pandangan tetapi itu tidak bermakna ia jadi pendirian parti," katanya lagi.
Ketika sesi penggulungan, Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menempelak perwakilan yang menggesa kerajaan memberikan kontrak kepada mereka.
Bagaimanapun Naib Presiden Bersatu Ab Rashid Ab Rahman bersetuju dengan gesaan itu dan menyifatkan "bodoh" untuk tidak menggunakan sumber kerajaan kerana ia dapat menjamin kemenangan pada masa akan datang.