Goldman Sachs menegaskan kerajaan Malaysia sebelum ini telah berbohong kepada bank pelaburan itu selepas Malaysia memfailkan pertuduhan jenayah terhadap Goldman Sachs Group Inc berhubung urusannya dengan 1MDB.
Pihak berkuasa Malaysia mendakwa bank itu dan dua bekas kakitangannya berhubung siasatan ke atas rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan skandal berkenaan.
Peguam Negara, Tommy Thomas berkata dalam kenyataannya, mereka akan mengambil tindakan terhadap Goldman Sachs dan empat individu lain kerana mengalihkan kira-kira AS $ 2.7 bilion dari 1MDB.
Ini kali pertama Goldman Sachs, yang secara konsisten menafikan salah laku tersebut menghadapi tuduhan jenayah dalam skandal 1MDB.
Dalam satu kenyataan dipetik Reuters, menurut jurucakap Goldman, beberapa bekas anggota kerajaan Malaysia dan 1MDB berbohong kepada syarikat itu, peguam luar dan individu lain mengenai hasil daripada urus niaga tersebut.
Katanya, 1MDB, yang mana Ketua Pegawai Eksekutif dan Lembaga Pengarahnya melaporkan terus kepada perdana menteri pada masa itu, juga memberikan jaminan bertulis kepada Goldman Sachs untuk setiap transaksi yang tidak ada perantara yang terlibat.
Kerajaan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menubuhkan dana 1MDB pada tahun 2009, dan Jabatan Keadilan AS (DoJ) menganggarkan AS$ 4.5 bilion telah disalahgunakan oleh pegawai dana peringkat tinggi dan rakan-rakan mereka antara 2009 dan 2014.
Jelas jurucakap itu lagi, bank itu tidak diberi peluang mempertahan diri sebelum tuduhan itu difailkan dan akan mencabar pendakwaan itu.
Goldman Sachs disiasat kerana peranannya dalam membantu menerbitkan AS$ 6.5 bilion menerusi tiga tawaran bon untuk 1MDB, yang disiasat di sekurang-kurangnya enam negara.