Kerjasama dengan Umno: Orang PAS akan ikut pemimpin, kata Hadi

KiniTV 2018-09-12

Views 3.2K

Majoriti ahli PAS mengikut pemimpin dan memahami dengan jelas pendirian parti itu berhubung kerjasama strategik dengan Umno, kata presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, keyakinan itu didorong oleh dasar patuh dan taat kepada arahan pimpinan yang menjadi amalan parti selama ini.

“Majoriti orang PAS mengikut pemimpin. Yang baik kita kerjasama dan tidak baik, kita tidak bekerjasama.

“Buat masa ini tiada gabungan tetapi di masa akan datang kita tidak tahu kerana perancangan kita adalah untuk Islam berkuasa dan siapa yang boleh bagi jalan ke arah itu maka kita akan bersikap positif,” katanya ketika ditemui.

Abdul Hadi berkata, kerjasama sebagaimana yang dilihat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dan Seri Setia baru-baru ini akan terus dipertingkatkan oleh kedua-dua parti itu.

Hubungan antara PAS dan Umno selepas PRU14 semakin erat dengan kedua-dua parti itu apabila mereka mencapai persetujuan bersama untuk bekerjasama bagi menewaskan Pakatan Harapan dalam PRK DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong.

Malah, pemimpin kanan kedua-dua parti itu mengesahkan akan hadir dalam perhimpunan agung serta muktamar parti masing-masing yang berlangsung bulan ini.

Share This Video


Download

  
Report form