Jamal bebas dengan ikat jamin RM20,000

KiniTV 2018-07-31

Views 15.4K

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membenarkan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos dibebaskan dengan ikat jamin RM20,000 dan tiga penjamin atas tiga pertuduhan dihadapinya.

Sebelum ini, Mahkamah Majistret Ampang di Kuala Lumpur, menarik balik perintah ikat jamin terhadap Jamal bagi pertuduhan menceroboh dua premis perjudian di Taman Kosas, di Kuala Lumpur, dua tahun lalu.

Pihak pendakwaan memohon perintah ikat jamin itu ditarik balik kerana khuatir Jamal akan melarikan diri sekali lagi.

Jamal didakwa bersama-sama empat lagi yang masih bebas didapati melakukan pencerobohan di Kedai Happy Toys, No. 23, Jalan Kosas 1/2, Taman Kosas, di Kuala Lumpur.

Dia juga didakwa bersama seorang yang telah dituduh dan seorang lagi yang masih bebas melakukan perbuatan sama di Kedai Starcom Trading and Services No. 23&25, Jalan Kosas 13, di taman sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam 3.30 dan 3.40 petang, 29 Dis 2016 mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Jamal, yang juga Pengerusi Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Malaysia, turut didakwa dengan sengaja telah melepaskan diri daripada jagaan pihak polis yang menahannya secara sah di sisi undang-undang.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Hospital KPJ Ampang Puteri antara jam 2 dan 3 petang, 25 Mei lalu mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Share This Video


Download

  
Report form