Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh diarah keluar dari sidang Dewan Rakyat kerana enggan menarik balik perkataan 'samseng' yang ditujukan kepada Pemuda Umno yang pernah menyerang mendiang bapanya, Karpal Singh pada 2009.
Keputusan itu dibuat Speaker Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof selepas sidang bersambung semula pada 2.30 petang tadi.
Mohamad Ariff juga turut menggesa agar Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin menarik balik perkataan yang sama.
Bagaimanapun, Bung menarik perkataan tersebut dan dibenarkan untuk terus duduk di Dewan Rakyat.
https://www.kinitv.com/video/63475O74 - Gelar 'samseng', Dewan Rakyat tegang hampir sejam
Sesi pembukaan perbahasan Parlimen ke-14 bermula dengan drama perang mulut di antara anggota Parlimen kerajaan dan pembangkang selama hampir satu jam sehingga berlarutan ke waktu rehat.
Bezanya kali ini, perang mulut tersebut hampir menenggelamkan Timbalan Speaker Mohd Rashid Hasnon, yang dilihat gagal mengawal keadaan.
Ia bermula sejurus selepas Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul Ghani yang membentangkan usul menjunjung terima kasih ucapan Yang di-Pertuan Agong semalam.