SEREMBAN 7 April - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas dadah disyaki jenis methamphetamine seberat 15.56 kilogram bernilai RM1.09 juta dalam serbuan di sebuah rumah di Bandar Bukit Tinggi di Klang, Selangor kelmarin.
Pemangku Timbalan Ketua Pengarah JKDM (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Zulkifli Yahya berkata, tiga lelaki warga India berusia 30-an hingga 40-an turut ditahan dalam serbuan di kediaman itu pada pukul 1.20 petang.
Menurut beliau, dadah tersebut ditemukan di dalam baju T yang disimpan di dalam tujuh buah kotak.
“Siasatan awal mendapati konsaimen ini dihantar dari Dhaka, Bangladesh ke Malaysia melalui kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Dari kargo KLIA, ia dihantar dengan lori kepada suspek di Bandar Bukit Tinggi,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Cawangan Narkotik JKDM di Nilai dekat sini hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. - UTUSAN ONLINE