KUALA LUMPUR - Nama Hafiz Hamidun diangkat apabila lagu beliau berjudul Kasih Padamu berjaya menjadi Lagu Paling Lama dalam carta radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) 2014.
Ia sekali gus melayakkan Hafiz menggenggam anugerah dalam Anugerah Nasyid IKIM tahun lepas.
Anugerah itu seakan-akan menjadi pembakar semangat penyanyi bertubuh cilik berusia 31 tahun ini untuk meneruskan langkah sebagai penyanyi nasyid dan pendakwah.
Mempunyai ribuan pengikut di media sosial khususnya instagram dan Facebook, Hafiz Hamidun hari ini melancarkan album baharu berjudul I Love Rasulullah.
Pada majlis pelancaran album tersebut, Hafiz turut menerima Anugerah Platinum daripada pihak pengedar albumnya, Sony Music.
Anugerah itu diberi berdasarkan dalam tempoh sebulan I Love Rasulullah berada dalam pasaran, ia berjaya terjual sebanyak 10, 000 unit.
Untuk rekod, sehingga teks diskripsi video ini ditulis, jumlah jualan album I Love Rasulullah mencatat jualan 13, 000 dan jumlah itu terus meningkat saban hari.
Sebaik majlis pelancaran album I Love Rasulullah yang diterbitkan sendiri oleh Hafiz, wartawan Utusan Online bersama dua juruvideo, Mohd. Izwan dan Muhammad Aminuddin Yusof sempat menemu bual ikon nasyid tempatan ini.
Ikuti temu bual bersama Hafiz Hamidun. - UTUSAN ONLINE