LIMA 2015 catat rekod jumlah pengunjung, nilai perjanjian

Idea Kita 2018-07-11

Views 11

LANGKAWI 21 Mac - Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa 2015 (LIMA 2015) yang berlangsung sejak 17 Mac dan berakhir hari ini dilihat sebagai berjaya selepas melebihi sasaran jumlah pengunjung perdagangan dan pengunjung awam.

Malahan LIMA edisi ke-13 ini, yang dianggap sebagai terbaik tersebut sepanjang penganjurannya, juga mencatatkan rekod nilai perjanjian yang ditandatangani berbanding sebelum ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, jumlah pengunjung perdagangan yang dibuka selama tiga hari pertama pameran seramai 39,684 orang melebih sasaran 38,500 orang.

LIMA 2013 sebelum ini mencatatkan kehadiran 38,500 pengunjung perdagangan.

Dalam kenyataan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri dalam sidang akhbar penutup LIMA 2015 di sini hari ini, Hishammuddin berkata:

“Sementara jumlah pengunjung awam semalam mencatatkan 86,681 orang. Kita yakin jumlah sasaran 130,000 pengunjung awam untuk LIMA kali ini akan tercapai pada hari terakhir ini,” kata Hishammuddin.

LIMA 2013 telah mencatatkan kedatnagan jumlah pengunjung awam seramai 135,000 orang.

Sementara itu, jumlah kontrak yang ditandatangani melalui perjanjian persefahaman (MoU) sepanjang LIMA 2015 berlangsung adalah bernilai RM9.29 bilion.

“Jumlah ini melebih jumlah MoU yang ditandatangani pada LIMA 2013 iaitu sebanyak RM4.27 bilion iaitu peningkatan sebanyak 121 peratus,” jelas Hishammuddin.

LIMA 2015 dianggap sebagai terbaik sepanjang edisi pameran itu berlangsung yang memasuki kali ke-13 dengan penyertaan 110 pesawat, lima kumpulan aerobatic, 65 kapal perang dan bot serta 512 pempamer dari 36 negara.

Seramai 277 delegasi termasuk 148 deligasi kanan dari 55 Negara turut menghadiri LIMA 2015 yang berlangsung selama lima hari. - UTUSAN ONLINE

Share This Video


Download

  
Report form