KUALA LUMPUR 25 Mei - Buat julung kalinya akhbar Utusan Malaysia terbitan Kumpulan Utusan dengan kerjasama syarikat hartanah terkemuka, Andaman Property Management Sdn. Bhd., akan menganjurkan Simposium Hartanah Utusan 2015 pada 12 hingga 13 Jun ini.
Kumpulan Utusan berkata, tujuan simposium berkenaan adalah sebagai platform kepada semua lapisan masyarakat untuk mendapatkan maklumat yang tepat serta senario terkini mengenai dunia hartanah termasuk prosedur pembelian yang bijak.
Menurutnya, penganjuran simposium juga untuk memberi pendedahan, informasi secara terperinci, penjelasan secara menyeluruh dan meningkatkan kemahiran pengurusan serta pembangunan hartanah kepada peserta.
“Program yang akan berjalan selama dua hari ini dijangka memberikan pengetahuan yang padat disertai perbincangan mengenai sektor hartanah tempatan, malah dijangka akan mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai pihak seperti pemain industri, persatuan pengguna dan hartanah serta orang awam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, simposium berkenaan yang berlangsung di Ibu pejabat Utusan Melayu (M) Bhd. di Jalan Utusan di sini, akan mengupas beberapa topik menarik seperti gadaian, lokasi hartanah, petua membeli rumah dan penipuan dalam pembelian rumah yang akan disampaikan oleh pakar-pakar hartanah, kewangan dan pelaburan.
Selain itu, dalam simposium tersebut akan diadakan mini karnival seperti jualan akhbar dan produk terbitan Kumpulan Utusan dengan harga istimewa. Peserta juga berpeluang untuk menyertai cabutan bertuah dengan pembelian berjumlah RM5 dan ke atas.
Orang ramai yang berminat untuk menyertai simposium tersebut boleh menghubungi Unit Pengurusan Jenama Kumpulan Utusan di talian 03-92324428/4431/4432 bagi mendapatkan maklumat lanjut atau mengajukan sebarang pertanyaan mengenai program berkenaan.