KUALA LUMPUR 19 Mac – Kerjasama Kumpulan Utusan dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam menganjurkan Sayembara Novel Fiksyen Sains dan Teknologi untuk tiga musim berjaya mencapai matlamatnya dalam melahirkan penulis yang berilmu dan berfikiran saintifik.
Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Ir. Wahid Omar berkata, sebagai sebuah universiti yang berlandaskan teknologi serta sains, UTM sentiasa mendepani cabaran dalam melaksanakan saranan kerajaan melahirkan modal insan yang berkualiti dalam bidang-bidang tersebut.
Katanya, kerjasama erat yang dijalin sebenarnya menyumbang kepada usaha negara dalam melahirkan rakyat berilmu dan mempunyai pemikiran saintifik ke arah pembentukan negara maju 2020.
“Sayembara ini menyediakan ruang dan platform bagi menggamit mereka yang berminat untuk turut sama mencuba dan membina bakat menjadi pengkarya, oleh itu untuk musim ketiga ini, pihak penganjur menambah hadiah kepada para pemenang.
“Sebagai pihak penganjur bersama, UTM berazam dalam tempoh sedekad, program ini akan menjadi sayembara yang berprestij terutama dari aspek pembinaan dan penyertaan karyawan, kualiti kerja yang menyertai dan impak kepenggunaan masyarakat yang bermutu tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyampaian Hadiah dan Pelancaran Karya Pemenang Sayembara Novel Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan musim ketiga di Ibu Pejabat Kumpulan Utusan di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak semasa menyampaikan ucapan berkata, jalinan bestari antara Kumpulan Utusan dan UTM melalui sayembara ini telah membuka ruang untuk bersama-sama memikul tugas yang besar mengembangkan kesusasteraan tempatan ke peringkat yang lebih tinggi terutama dalam genre sains fiksyen.
Katanya, walaupun sayembara ini masih baharu, karya-karya kelahiran program ini telah muda mendapat tempat dalam lapangan sastera apabila naskhah daripada musim kedua berjaya diangkat sebagai teks komponen sastera (Komsas) tingkatan empat mulai tahun ini.
“Utusan sangat berbesar hati kerana berpeluang melahirkan generasi baharu yang inovatif sesuai dengan genre sastera yang dipilih selaras dengan tanggungjawab sosial kami dalam menyahut cabaran kerajaan melahirkan generasi cemerlang dan berdaya saing.
“Saya percaya, sayembara ini boleh menjadi landasan bagi masyarakat penulis untuk mencabar daya kreativiti mereka dengan memberikan nafas baharu dalam menghasilkan naskhah yang berbeza daripada genre kebiasaan,” katanya. - UTUSAN ONLINE