Spekulasi Najib akan ditangkap, media 'berkampung' di Langgak Duta

KiniTV 2018-06-27

Views 3.5K

Lebih 30 pengamal media berkumpul di luar kediaman Datuk Seri Najib Razak di Jalan Langgak Duta, Taman Duta di sini berikutan desas-desus bekas Perdana Menteri itu akan ditahan pada malam tadi.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh ketika dihubungi menyangkal perkara itu.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menyatakan perkara sama apabila Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak bercadang membuat serbuan atau menangkap Najib pada masa ini.

Memetik Bernama, kawasan kediaman bekas perdana menteri itu masih dikawal ketat oleh pihak polis dengan balai polis bergerak ditempatkan di situ.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, beliau menjangka pertuduhan akan dikenakan terhadap Najib berhubung penyelewengan berbilion ringgit daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Selain itu Najib turut disiasat oleh SPRM berhubung kes SRC International Sdn. Bhd., sebuah lagi syarikat yang terlibat dalam isu 1MDB.

Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor telah disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen dari meninggalkan negara ini.

Share This Video


Download

  
Report form