Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan tidak timbul soal pelantikan Amirudin Shari sebagai menteri besar Selangor dibuat tanpa restu Pakatan Harapan (HARAPAN).
Sebaliknya, Wan Azizah berkata semua pihak sedia maklum bahawa Amirudin yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua merupakan antara yang disenarai pendek sebagai calon untuk menjawat jawatan menteri besar Selangor.
Sementara itu mengulas lanjut kenyataan Dr Idris Ahmad, Wan Azizah berkata ia hanyalah pandangan peribadi ADUN Ijok itu.
Terdahulu Idris dalam sidang medianya hari ini mendakwa perlantikan Amirudin sebagai menteri besar Selangor yang baru tidak mendapat restu HARAPAN, kira-kira sejam sebelum Amirudin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar ke-16 Selangor.
Idris sebaliknya berkata hanya beliau seorang sahaja yang mendapat persetujuan daripada semua parti HARAPAN.
Idris, ADUN penggal kedua juga mengemukakan surat sokongan pemimpin-pemimpin di BERSATU, DAP dan AMANAH Selangor yang didakwa menyokong pelantikannya.
Satu lagi surat sokongan Idris ditandatangani oleh Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.