Biasanya orang politik menjadi sasaran wartawan apabila ada sesuatu isu berkaitan dengan mereka.
Jika persoalan itu boleh dijawab - atau memang ingin dijelaskan - ahli politik terbabit, ia adalah detik terbaik untuk mereka menjadi bahan laporan berita.
Jika sebaliknya, ada pelbagai cara untuk mengelak wartawan. Antaranya ialah dengan bersegera masuk ke kereta.
Mungkin itu yang berlaku pada Menteri Politik, Undang-undang dan Keamanan Indonesia, Wiranto.
Sejurus selepas keluar dari Istana Presiden bertemu dengan Joko Widodo, sejumlah wartawan menyerbu bekas panglima tentera Indonesia itu.
Mereka mahukan penjelasan mengenai cadangan penubuhan jabatan khas antirasuah dalam pasukan polis di negara berkenaan.
Cadangan itu dilaporkan belum dipersetujui oleh Wiranto.
Ketika soalan menjadi semakin panas, Wiranto cuba mengelak menjawab dengan berjalan menuju ke keretanya.
Dalam keadaan dikerumuni media, Wiranto lantas membuka pintu salah sebuah kereta yang ada berhampirannya. Ketika itu memang kebetulan ada tiga kenderaan di situ.
"Wah, mana kereta saya?" katanya kebingungan - seperti dipetik Tempo - sambil cuba mengelak daripada diserbu wartawan.
Ketua Umum Parti Hati Nurani Rakyat (Hanura) itu kemudian segera sedar kenderaan berkenaan bukanlah miliknya.
Ia adalah kereta rasmi ketua suruhanjaya pencegahan rasuah negara itu, Agus Rahardjo.
Sedar tersilap Wiranto, 70, membuka kereta satu lagi di kirinya. Sekali lagi dia terkejut.
"Eh, ini bukan kereta saya. Dalam kereta saya tak ada makanan," katanya mengenai kenderaan milik seorang lagi menteri Indonesia, Asman Abnur.
"Anda semua buat saya bingung," tambah Wiranto kepada wartawan.
Hanya selepas pengiringnya memberitahu, barulah Wiranto sedar keretanya berada betul-betul di arah depan bukan di kiri atau kanan.
Akhirnya Wiranto masuk ke kereta itu dan meninggalkan pekarangan Istana Presiden.
Cadangan penubuhan jabatan khas antirasuah itu disarankan sendiri oleh Ketua Polis Indonesia Tito Karnavian di parlimen negara itu suatu ketika dulu.
Matlamat jabatan khas itu, kata Tito, ialah untuk menangani dan mencegah kes-kes rasuah di Indonesia. Namun untuk merealisasikan cadangan itu memerlukan sejumlah wang yang sangat besar.
Kos menjadi terlalu tinggi kerana sumber manusianya yang dicadangkan Tito ialah sehingga 3,000 orang.
Cadangan itu bagaimanapun dipersoalkan kerana bidang tugasnya mungkin bertindih dengan agensi antirasuah sedia ada.
Menurut Wiranto penubuhan jabatan khas itu kini ditangguhkan ke waktu yang tidak ditetapkan kerana kerajaan perlu membuat pelbagai pertimbangan terlebih dulu.
Satu daripada faktor yang diberi penekanan ialah anggaran kos yang diperlukan.