Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berasa bangga dengan prestasi skuad B-22 yang mempamerkan aksi persembahan yang konsisten sepanjang kempen perlawanan bola sepak Sukan SEA 2017.
Walaupun sedih dengan kekalahan, baginda tetap positif bahawa pasukan di bawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu merupakan aset kepada negara pada masa akan datang.
"Tak ada orang suka kalah. Saya yang tengok hari ini ada dua mix emosi. Satu saya kecewa dengan kekalahan, satu saya rasa bangga dengan apa yang kita ada pada masa akan datang. Anda semua adalah aset pada negara.
"Memang patut sedih, tetapi tak ada seorang pun dalam bilik ini telah memalukan negara.
"Satu perkataan yang saya patut sampaikan kepada anda ialah terima kasih kerana memberi persembahan itu sepanjang kempen Sukan SEA ini. Itu adalah satu kebanggaan dan satu pencapaian. Walau apapun, kita akan sentiasa bersatu, memperbaiki apa yang boleh perbaiki, lupakan apa yang terjadi, jadikan sebagai satu pengajaran dan teruskan bergerak," kata Tunku Ismail sambil memberi kata-kata perangsang buat para pemain selepas perlawanan menentang Thailand di bilik persalinan pemain di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Thailand memenangi pingat emas dengan menumpaskan Malaysia dengan jaringan 1-0, hasil kesilapan penjaga gol Haziq di gawang.
Dalam pada itu, Tunku Ismail menganggap pingat perak yang dipungut pasukan Harimau Malaysia merupakan pencapaian yang tinggi.
Baginda juga turut mengumumkan insentif kepada semua pemain.
"Silver medal is consider still a high achievement. Saya akan bagi insentif kepada semua sekali," katanya.