Kejayaan meraih pingat emas dalam acara pecut lelaki individu di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 hari ini merupakan kenangan paling manis dalam lipatan kerjaya juara dunia Mohd Azizulhasni Awang.
Pingat emas yang dimenanginya malam tadi, bukan sahaja melengkapkan sasaran 111 pingat emas kontinjen negara tapi juga pingat emas pertamanya untuk acara individu di pentas Sukan SEA selepas kali terakhir beraksi di Korat, Thailand pada 2007.
Terdahulu, keadaan cemas seketika dalam kem lumba basikal negara apabila Azizulhasni tergelincir dan terjatuh ketika bersaing dalam separuh akhir namun dia kemudian bangkit untuk menewaskan pelumba Indonesia, Puguh Admadi 2-0.
"Biasalah kalau di trek yang masih baharu. Saya agak terkejut bila terjatuh tadi dan siku sedikit terkoyak (luka) dan sakit sikit masa aksi final," katanya yang dipetik Bernama.