NGO usahawan IKS tubuh parti baru pro-BN

KiniTV 2017-06-20

Views 505

Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) hari ini mengumumkan bahawa NGO itu akan menjadi parti baru yang dikenali sebagai Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (Pekira).

Presidennya, Mohd Ridzuan Abdullah berkata partinya itu akan membantu parti pemerintah BN memenangi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Kita ada keahlian begitu ramai dalam 200,000 majoritinya akan diserap ke dalam parti baru Pekira… parti kita akan sokong segala usaha kerajaan bagi memastikan kemenangan BN dalam PRU,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Ridzuan berkata pihaknya telah menghantar borang permohonan pendaftaran parti itu kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada bulan lalu dan masih menunggu kelulusannya.

Ketika disoal wartawan adakah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sudah memberi lampu hijau kepada Pekira untuk membantu BN berkata:

“Kita sudah hantar surat pada PM maklumkan mengenai Pekira tapi PM belum bagi sebarang jawapan,” katanya.

Katanya lagi, parti berkenaanu akan memfokuskan kepada golongan muda kerana katanya sebelum ini NGO IKHLAS lebih dekat dengan golongan itu.

“Tumpuan kita lebih pada golongan muda dan saya masih lagi presiden IKHLAS Malaysia sebab selama 10 tahun saya bertugas sebagai presiden IKHLAS, segala isu melibatkan usahawan dan rakyat mereka datang pada pertubuhan kami.

“Sebelum ini kita tanya kenapa tak minta tolong wakil rakyat, ahli parlimen, parti politik mereka dah cuba dan gagal dan akhirnya minta bantuan dari IKHLAS,” katanya.

Ridzuan ketika ditanya adakah Pekira akan bertanding pada PRU14 berkata, keputusan terletak di tangan Najib.

“Kita tak boleh buat keputusan dalam waktu terdekat ini, kita cuma nak pastikan kemenangan BN dalam PRU.

“(Tapi) apa pun keputusan PM (untuk beri PEKIRA bertanding) kita terima,” katanya.

Tambahnya, sekira Pekira tidak diberikan kerusi, kerajaan wajar melantik seorang wakil parti itu sebagai senator dalam Dewan Negara.

Share This Video


Download

  
Report form