NGO doakan Gobind Singh peluk Islam

KiniTV 2017-03-03

Views 989

Sekumpulan individu mendakwa mewakili 500 NGO berharap memorandum yang dihantar kepada Gobind Singh Deo akan membuka hati ahli parlimen Puchong itu terhadap Islam dan sekali gus menyokong pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.

Masridzi Sat, salah seorang pemimpin dalam Himpunan Ummah di Puchong hari ini, melahirkan harapan itu selepas solat Jumaat di Masjid Al Husna.

"Kita harap dengan memorandum yang kita hantar dan barakah hari Jumaat kita berkumpul di masjid yang mulia ini, kita harap mudah-mudahan membukakan hati Gobind Singh, bukan sahaja dia menyokong, mudah-mudahan tak menentang, bahkan mudah-mudahan dia memeluk Islam Insha Allah," kata Masridzi dalam ucapannya.

Memorandum itu, antara lain, menggesa Gobind menghormati hak umat Islam untuk meminda Akta 355, dan sama ada menyokong atau tidak mengundi berhubung pindaan itu di Parlimen.

Ia merupakan reaksi kepada kenyataan anggota parlimen Puchong itu bahawa DAP tidak akan menyokong pindaan tersebut.

Pindaan ini yang dicadangkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berusaha untuk meningkatkan had hukuman bagi kesalahan syariah iaitu penjara 30 tahun, denda RM100,000 dan 100 sebatan.

Semasa ini had hukuman mahkamah syariah adalah penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam sebatan.

Share This Video


Download

  
Report form