Jokowi pecat menteri

KiniTV 2016-08-16

Views 945

Presiden Indonesia Joko Widodo menamatkan perkhidmatan menteri tenaga republik itu selepas beliau turut mempunyai kerakyatan Amerika Syarikat (AS).

Arcandra Tahar, jurutera petroleum yang menghabiskan 20 tahun berkhidmat di AS, dilantik ke menjadi menteri tenaga dan sumber galian dalam rombakan kabinet bulan lalu.

“Susulan persoalan awam berkaitan kerakyatan menteri tenaga dan sumber galian, presiden memutuskan menamatkan perkhidmatannya dengan terhormat,” kata Menteri Sekretariat Negara Pratikno (satu nama) dalam pengumuman di kaca TV malam tadi.

Laporan-laporan bahawa Arcandra memegang kerakyatan AS timbul hari minggu lalu, dengan sumber yang tidak dinamakan mengesahkan beliau mendapat kerakyatan itu pada 2012 selepas proses naturalisasi.

Laporan-laporan juga menyebut beliau menggunakan pasport AS untuk memasuki Indonesia untuk beberapa acara sebelum ini.

Indonesia tidak mengiktiraf dua kerakyatan, bermakna rakyat negara itu yang bersumpah taat setia kepada negara asing secara automatik hilang kerakyatan Indonesia.

Arcandra bertegas beliau warganegara Indonesia, dengan berkata mempunyai pasport sah Indonesia.

Kontroversi itu menjadi peluang pengkritik Jokowi mempersoal kepimpinannya.

Share This Video


Download

  
Report form