Persidangan Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul menggantung anggota Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang daripada persidangan selama enam bulan selepas tidak menarik balik kenyataan dan memohon maaf tanpa syarat berhubung tuduhannya terhadap Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Usul untuk menggantung Lim yang diluluskan pada kira-kira 1.11 tengah hari itu diputuskan melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 107 menyokong manakala 77 menolak.
Usul itu dikemukakan susulan tuntutan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia supaya anggota Parlimen DAP itu membuat permohonan maaf tanpa syarat ekoran kenyataannya yang menuduh beliau menyalah guna kuasa sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat serta cuba mensabotaj siasatan mengenai syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang dibuat pada Isnin.