Ribuan penduduk Nepal yang berlindung di khemah-khemah sementara, dihimpit krisis kemanusiaan yang teruk berikutan gempa bumi kuat Sabtu lalu, yang mengorbankan lebih 3,000 orang dan mencederakan lebih 6,500 yang lain.
Ribuan keluarga, mangsa yang sakit dan warga tua terpaksa ditempatkan di kawasan lapang, selepas rumah mereka ranap akibat gegaran, manakala beribu-ribu penduduk lagi enggan pulang ke rumah masing-masing ekoran bimbang dengan gempa susulan.
Lebih menyedihkan, kebanyakan mangsa hanya menggunakan plastik yang dijadikan sebagai selimut untuk berlindung daripada terkena hujan dan cuaca sejuk, selain terdesak menunggu bantuan.